Kejadiannya tertumpah air panas ke peha isteri, tapi bagaimana suami ini muhasabah diri tentang apa yang berlaku menunjukkan betapa dia mencintai dan sangat menghargai kehadiran isteri di sisi.

Cara suami ini menghargai isterinya memang wajar dicontohi.

Baru-baru ini Allah izin air panas tertumpah atas peha isteri saya yang sangat saya cintai. Apabila sudah mendapat rawatan yang sepatutnya, keadaan bertambah baik. Cuma buat masa ini, kulitnya yang melecur itu kehitaman, dan mula mengelupas. Mungkin nak ganti kulit yang baru.

Isteri saya cakap: "Kalau air panas tu jatuh kat muka saya, macam mana? Awak sayang saya lagi tak kalau kulit muka saya jadi begini?" Sambil menunjukkan bekas tempat melecur itu.

Saya jawab: "Ada manusia yang boleh hidup dengan orang yang tak lawa. Apatah lagi saya, untuk hidup dengan awak. InsyaAllah kekal sayang."


Perbualan itu menjadikan saya terkenang akan mengapa saya memilih isteri saya untuk menjadi peneman hidup. Ya, masa jatuh hati itu, tak terfikir kenapa jatuh hati kepadanya. Ketika itu, automatik hati digerakkan. Tetapi kemudian saya mencari sebabnya. Kerana saya jelas ketika itu, tidak mahu didorong perasaan semata-mata.
Dia melihat kekurangan saya

Apa yang menjadikan saya benar-benar nekad untuk mengahwini isteri saya, ialah, selepas saya risik-risik latar belakang dan peribadinya, dia mampu mengimbangi saya. Saya nampak, dia mampu melengkapkan diri saya. Saya kenal diri saya, saya tahu sikap saya, saya faham kekurangan-kekurangan saya.
Yang saya perlukan ialah orang yang tak lihat saya ini perfect, dan bila melihat kekurangan-kekurangan saya, dia berusaha mengimbanginya berbanding hanya pandai kecewa.

Cantik itu bonus sahaja. Dan sebenarnya cantik itu subjektif. Pasti sahaja saya akan kata isteri saya lawa berbanding yang lain, walau bagaimana pun keadaan rupanya. Kerana dia isteri saya. Manakala semua suami yang lain pula perlu merasakan isteri masing-masing ialah yang paling lawa. Bukan kata perempuan lain atau isteri orang lain lawa.

Perbualan ini juga menjadikan saya teringat, kadang-kadang, air mata saya mengalir sebelum tidur. Mengapa? Kerana saya ada satu tabiat, kadang-kadang saya cuba membayangkan situasi bila orang yang saya sayangi ditarik pergi oleh Allah SWT.

Jadi kadang, saya terbayang Ummi saya meninggal dunia, Abah meninggal dunia, isteri saya meninggal dunia, anak saya meninggal dunia. Membayangkan bagaimana saya uruskan jenazah mereka dan mengebumikan mereka. Membayangkan bagaimana kehidupan saya selepas ketiadaan mereka.

Diri ini belum bersedia untuk berpisah

Bayangan-bayangan itu kadang sangat tajam rasanya, kerana tidak dapat tidak saya perlu mengakui akan kemungkinan realiti sedemikian boleh sahaja berlaku dalam kehidupan saya, hingga saya akhirnya terasa benar-benar tidak berkuasa, hanya mampu menangis sambil menginsafi & memulangkan diri kita kepada Empunya Nyawa, yakni Allah azzawajalla. Kadang saya terasa sangat sampai saya
tersebut: "Ya Allah, matikanlah aku lebih awal berbanding orang-orang yang aku sayangi."

Jadi di dalam hati saya, sambil menjawab isteri saya tadi, saya berkata: "Lebih baik melecur wajah(na'udzubillah), mungkin tinggal parut sedikit, berbanding mati dan meninggalkan saya. Diri ini nyata belum cukup bersedia untuk berpisah."

Kadang cinta itu kompleks. Sukar sebenarnya kita nak menterjemahkan sayang hanya dengan beberapa patah perkataan ringkas. Kadang, tindakan juga tidak mencukupi untuk mentafsirkan rasa cinta dan sayang kita kepada seseorang.

Ada masa saya peluk isteri saya lebih erat, ada masa sengaja saya kucup tangan & pipi Ummi Abah lebih lama, ada masa saya dukung anak saya dan usap-usap rambutnya dengan lebih perhatian bersama doa, dengan harapan dapatlah rasa cinta dan sayang saya ini dirasai juga oleh mereka.

Moga-moga tatkala kami dipisahkan di dunia ini, kami berpisah dengan rasa saling cinta mencintai. Saya tiada harapan yang lebih besar dari saya mendapat rahmat Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga, kecuali, saya berharap dikumpulkan di sana bersama semua keluarga saya.

Semoga Allah SWT meredhai kita semua. Dunia hanya pinjaman. Kadang kita tak rasa. Tetapi jika kita benar-benar menghayati, akan nampaklah kekerdilan diri. Lantas kepada Allah jua kita sujud mohon belas kasihan dan dirahmati.

Muhasabah.


Sumber: Facebook Hilal Asyraf Official
via vanillakismis.my