6 Sebab Kukuh Untuk Gunakan Lidah Buaya Dalam Rutin Kecantikan Anda

6 Manfaat Hebat Aloe Vera untuk Penjagaan Kecantikan dan Kesihatan
Semua orang tentunya mahu sentiasa sihat dan selalu kelihatan cantik, betul tak? Memang itu dah menjadi lumrah manusia, jadi tak hairanlah kalau ramai yang sanggup berhabis duit mencuba pelbagai jenis produk kecantikan dan produk kesihatan yang ada di pasaran.
Tapi dalam keseronokan membeli tu, jangan pula kita terlepas pandang tentang khasiat dan kelebihan yang ada pada tumbuh-tumbuhan semulajadi di sekeliling kita. Contohnya seperti aloe vera, atau dikenali juga sebagai lidah buaya. Seperti yang diketahui ramai, keistimewaan aloe vera terdapat pada lapisan gel berlendir di bahagian dalam daunnya yang tebal.
Komposisi utama pada lapisan gel berlendir ini adalah air, tetapi ia juga kaya dengan pelbagai jenis enzim, vitamin, mineral dan asid amino.
Aloe vera memang cukup terkenal sebagai ‘miracle plant’ atau tumbuhan ajaib, disebabkan oleh seribu satu manfaat yang dapat diberikannya, terutama dari segi kesihatan dan kecantikan. Berminat nak tau lebih lanjut? Ha, di sini kami kongsikan 6 manfaat hebat penggunaan aloe vera untuk penjagaan kecantikan dan kesihatan.

Penjagaan Kulit Muka dan sebagai Ubat Jerawat

Inginkan kulit muka yang cantik, gebu dan mulus bak Cleopatra? Apa kata anda cuba manfaatkan ciri-ciri semulajadi aloe vera yang bersifat anti-bakteria, anti-oksida dan anti-penuaan. Gel aloe vera dapat melembapkan dan menghidrasi kulit secara semulajadi serta berupaya memperbaiki dan memperbaharui sel-sel kulit. Kalau kulit dinaiki jerawat, sapukan cecair lendir aloe vera pada jerawat setiap pagi dan malam dan lihat sendiri kesannya dalam masa beberapa hari - jerawat akan menjadi kurang merah, perlahan-lahan akan mengecil dan hilang. Anda boleh juga mencampurkan gel aloe vera ke dalam masker muka anda semasa melakukan rawatan muka untuk mendapatkan kulit yang licin dan berseri-seri.
Melegakan kesan sunburn dan masalah-masalah kulit
Kalau kulit anda terkena sunburn akibat terlalu lama terdedah kepada matahari, sapuan gel aloe vera dapat meredakan dan merawat kesan tersebut. Begitu juga jika anda menghadapi masalah eczema, ruam ataupun gatal-gatal kulit disebabkan oleh gigitan serangga dan sebagainya. Potong secebis daun aloe vera dan sapukan saja cecair lendirnya pada bahagian kulit yang bermasalah itu. Aloe vera memang sifatnya sejuk – jadi sapuan gel ini akan dapat memberikan kelegaan semulajadi untuk pelbagai jenis masalah kulit. Malahan kalau ada luka-luka kecil pun, boleh sapukan aloe vera untuk membolehkan luka tersebut sembuh dengan cepat secara semulajadi.

Penjagaan Rambut

Memang tak dapat dinafikan rambut adalah mahkota setiap wanita. Namun ramai wanita selalu mengeluh disebabkan masalah rambut seperti rambut banyak gugur, terlalu berminyak ataupun banyak kelemumur. Memang boleh saja kalau nak berbelanja beli syampu mahal ataupun mendapatkan rawatan di salon rambut, tapi jangan lupa bahawa kebanyakan produk rawatan rambut melibatkan penggunaan bahan kimia yang membawa kesan jangka panjang yang negatif kepada kita.
Aloe Vera Drink
Jadi, sebagai alternatif, elok sangat kalau kita manfaatkan gel aloe vera untuk penjagaan rambut. Caranya mudah saja, Lumurkan cecair lendir yang diambil daripada daun aloe vera ke seluruh rambut dan juga seluruh kulit kepala, kemudian bungkus kepala dengan tuala secara longgar dan biarkan semalaman. Keesokan paginya, basahkan dan bilas rambut dan kulit kepala. Lakukan dalam 2 ke 3 kali dalam seminggu untuk mendapatkan rambut yang kelihatan lebih cantik dan sihat. Gel aloe vera sememangnya berkesan untuk membersihkan serta menyejukkan kulit kepala, menghilangkan kelemumur malah dapat melebatkan rambut.

Mengurangkan kesan ‘stretch marks’ dan parut

Ibu-ibu yang baru lepas bersalin selalunya gusar dengan kehadiran ‘stretch marks’ pada bahagian perut. ‘Stretch marks’ juga boleh timbul akibat dari perubahan berat badan yang dialami oleh mana-mana wanita mahupun lelaki. Memang tak berapa cantiklah kalau dah ada tanda regangan pada perut, paha ataupun punggung, dan memang bukan senang nak menghilangkannya.
Salah satu usaha yang boleh dicuba ialah dengan menyapu gel aloe vera pada bahagian yang terlibat. Sama juga dengan parut-parut akibat kesan luka atau kesan bedah, sapukan saja gel aloe vera dua atau tiga kali dalam sehari di tempat yang berkenaan. Selalunya memang akan mengambil masa berbulan-bulan untuk melihat hasilnya tapi kalau rajin menyapu setiap hari, memang nampak ketara kesan ‘stretch marks’ atau parut di badan anda akan semakin pudar berbanding sebelumnya.

Penjagaan gusi, gigi dan mulut

Sifat aloe vera yang anti-mikrob dan anti-bakterial juga menjadikannya mujarab untuk mengubati sakit gusi atau meredakan radang gusi. Untuk mendapatkan kelegaan segera, sapukan saja gel aloe vera di sekeliling gusi terutama bahagian gusi yang bengkak atau sakit. Untuk penjagaan umum gigi dan kesegaran mulut pula, berkumurlah dengan jus aloe vera dan kemudian bilas dengan kumuran air biasa.

Sebagai minuman kesihatan dalaman

Pengambilan aloe vera adalah amat baik untuk kesihatan dalaman kerana ia mampu memberi kesan detoks dan membuang toksin-toksin dari dalam badan, serta membersihkan usus dan saluran penghadaman. Secara tak langsung, berat badan juga mudah turun disebabkan oleh peningkatan metabolisme kesan dari sistem penghadaman yang lebih lancar dan sihat. Mereka yang kerap menghadapi masalah buasir atau sembelit turut digalakkan mengambil aloe vera untuk melegakan simptom- simptom tersebut.
Selain itu, terdapat banyak lagi khasiat dalaman dan manfaat kesihatan yang dapat dinikmati dengan pengambilan jus aloe vera. Antaranya, ia dapat mengurangkan paras gula dalam badan bagi pesakit-pesakit diabetes serta dapat mengurangkan sakit sendi bagi mereka yang mengalami penyakit arthritis.

Cara buat Jus Lidah Buaya Homemade

Jus aloe vera untuk diminum memang ada dijual tetapi boleh juga kalau nak buat sendiri di rumah. Cara nak buat jus aloe vera homemade tidaklah susah. Ambil beberapa helai daun aloe vera yang tebal dan bilas dengan air. Kemudian potong sisi tepi kiri dan kanan daun. Kupas keseluruhan bahagian kulit yang hijau dan ambil bahagian dalam daun yang tak berwarna dan bertekstur seperti jeli. Ambil sekali bendalir di sekeliling bahagian dalam daun. Kumpulkan dan kemudian kisarkan dengan campuran sedikit air mineral. Tapis dan simpan jusnya di dalam bekas kedap udara. Jus aloe vera yang penuh khasiat ini boleh tahan sekurang-kurangnya selama dua minggu apabila disimpan dalam peti sejuk. Boleh diminum begitu sahaja atau tambahkan dengan perahan air lemon dan sedikit gula.

Kesimpulan

Sebenarnya banyak lagi manfaat dan kelebihan aloe vera ini selain dari yang disenaraikan di atas. Tak hairanlah jika diperhatikan, begitu banyak produk kecantikan dan kesihatan di pasaran kini menggunakan aloe vera sebagai bahan utama. Namun rasanya lebih mujarab kalau kita gunakan gel asli dari daun pokok aloe vera yang ditanam sendiri.
Faedahnya pasti lebih optimum berbanding menggunakan produk aloe vera yang telah diproses bersama dengan bahan-bahan kimia. Lagipun kadang-kadang cara pemprosesan yang tak sesuai juga boleh memusnahkan sebahagian besar dari nutrien semulajadi yang terkandung di dalamnya. Jadi, rajin-rajinlah ya tanam sendiri pokok aloe vera dekat rumah.
Lagipun pokok aloe vera senang tumbuh dan mudah dijaga. Nanti kalau ada orang tanya apa rahsia kecantikan anda, bolehlah tersenyum lebar sambil tuding jari pada pokok aloe vera dalam pasu di depan rumah tu. Silap-silap nanti pasti ramai yang meniru….hebat kan! - [sumber mamalink.com.my]

Suka dengan ini?
|

loading...