Tajuk laporan akhbar semalam yang menyebut 'Usia 5 Tahun Perkahwinan Tempoh Kritikal' menarik perhatian ramai. VK sendiri pernah menulis tentang tahap ini dalam artikel sebelum ini. Lima tahun perkahwinan itu adalah tahap pertama kehidupan berumah tangga.

Perlu diketahui pasangan suami isteri baru, pada tahap inilah anda banyak diduga. Mana kan tidak, insan berbeza sikap duduk di bawah satu bumbung dan cuba memahami antara satu sama lain sudah tentu akan berlaku ketidaksefahaman.

Malah pada permulaan hidup berumah tangga ini jugalah akan datang banyak masalah untuk menguji persefahaman suami isteri daripada urusan rumah tangga, kewangan, anak dan sebagainya. Ketika ini pasangan harus banyak bersabar dan bertoleransi.

Info ini dikukuhkan lagi melalui hasil Kajian Penduduk dan keluarga Malaysia Ke-5 (KPKM-5) yang dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menurutnya kebanyakan penceraian berlaku kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun. Sikap curang dan tiada persefahaman antara satu sama lain merupakan punca utama penceraian pada tempoh ini.   

"Usia perkahwinan dalam tempoh lima tahun merupakan waktu kritikal yang perlu diberi perhatian oleh setiap pasangan,"ujarnya yang berucap sempena pelancaran Laporan Penemuan Utama KPKM-5 itu di sini, hari ini.   

VK juga tertarik juga berkongsi hasil kajian lain yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dari Sept 2014 hingga Januari 2015 melibatkan 23,112 tempat kediaman dan 57,246 isi rumah.   Berikut sebahagian daripadanya yang juga mewakili keadaan keluarga di negara kita sekarang.

1. Kebanyakan penceraian berlaku dalam kalangan pasangan yang berkahwin dalam tempoh kurang dari lima tahun.
2. Keluarga di Malaysia berhadapan dengan kesukaran pengurusan perbelanjaan pendidikan anak serta keperluan keluarga.
3. Kajian mendapati 6.9 peratus wanita berkahwin yang bekerja tinggal berjauhan dengan suami mereka.
4. Kebanyakan wanita berhenti kerja atas faktor masalah penjagaan anak di samping terdapat juga wanita bekerja yang memerlukan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.
5. Sebanyak 34 peratus warga emas mengalami kesunyian.     


Realiti yang berlaku ini dilihat cukup merisaukan, justeru dalam membantu institusi kekeluargaan berlangsung harmoni, salah satu yang dibuat kementerian melalui LPPKN adalah memperhebatkan program intervensi perkahwinan seperti Bulan Madu Kedua. Namun usaha ini tak akan berkesan jika pasangan suami isteri itu sendiri tidak berusaha untuk menangani masalah yang dihadapi.

Sumber : Sinar Harian via vanillakismis.my