10 Tempat Makan Yang Memang Berbaloi Sedap Di Shah Alam

Mencari-cari tempat makan yang sedap dan popular di Shah Alam? Jom semak 10 tempat makan yang memang berbaloi sedap di Shah Alam. Jika anda berkunjung ke Shah Alam, jangan lupa singgah di sini ya!
Jalan-Jalan Cari Makan Shah Alam - women online magazine 1
1. Pak Li Kopitiam
Bosan dengan kopitiam-kopitiam yang sudah biasa anda nikmati? Apa kata, anda cuba makan dan minum di Pak Li Kopitiam yang terletak di Seksyen 7 ataupun Seksyen 18. Sebuah tempat yang sesuai untuk anda bersantai bersama keluarga mahupun teman. Menu wajib cuba di sini adalah ‘Nasi Ayam Lemon’ dan ‘Golden Fried Rice’.Minuman yang disyorkan adalah kopi putihnya. Menu yang selalunya terdapat di kopitiam yang lain turut disediakan seperti roti bakar,telur separuh masak,nasi lemak dan lain-lain. Restoran ini beroperasi setiap hari bermula dari pukul 8 pagi sehingga 1.30 pagi bagi hari Ahad hingga Khamis. Manakala pada hari Jumaat dan Sabtu restoran ini beroperasi sehingga pukul 2.30 pagi.

2. Burger Yazid
Jalan-jalan cari makan Shah Alam yang seterusnya ialah ke Burger Yazid yang terletak di Seksyen 7. Burger ini sememangnya terkenal dengan saiz burgernya yang besar. Saiznya yang besar itu boleh dimakan bersama-sama dalam anggaran tiga hingga tujuh orang berdasarkan saiz yang dipilih. Anda boleh mencuba pelbagai menu di sini seperti ‘Double Kambing Special’ dan ‘Twister Cheese’ yang dikatakan adalah yang terbaik dan menarik untuk dicuba di sini. Namun,anda diingatkan supaya sabar menunggu menu yang dipesan kerana ramai yang membeli dan sanggup beratur untuk makan di salah satu tempat makan menarik di Shah Alam ini.
3. Restoran Mr Steak House
Jalan-jalan cari makan Shah Alam seterusnya ke Restoran Mr Steak House yang terletak di Laman Seri Business Park di Seksyen 13, Shah Alam. Menariknya harga makanan di restoran ini ‘agak murah’ untuk sebuah restoran.Contohnya, harga untuk ‘Chicken Chop’ hanya RM8.90 tidak seperti restoran lain. Walaupun harganya agak murah,namun portion yang disediakan adalah berbaloi.
Anda bolehlah cuba menikmati Chicken Combo yang berharga RM13.90 kerana hidangan ini bukan semata-mata ayam sahaja. Tetapi turut digabungkan juga dengan dua kepingan lamb chop,grilled chicken bahagian thigh dan juga beberapa ekor udang.Sememangnya keenakkan rasanya membuatkan anda berbaloi untuk menikmati hidangan ini.
4. Restoran Mee Ketam
Apabila bertanya sahaja kedai makan yang sedap di Seksyen 7 ini,pastinya ramai yang mencadangkan anda untuk jalan-jalan cari makan Shah Alam mencuba mee ketam di Restoran Mee Ketam yang berdekatan dengan Unisel Shah Alam. Sememangnya mee ketam di restoran ini merupakan mee ketam yang terbaik dan wajib order apabila datang makan di sini. Harga bagi semangkuk mee ketam ini pula sangat berpatutan,cuma RM 8 untuk mee ketam bersaiz biasa. Rasa karinya yang sedap,pedas dan berlemak dan cukup rasa mampu membuatkan anda tak pandang kiri kanan apabila menikmati mee ketam ini. Ketam yang digunakan juga segar dan banyak isi.
Selain itu,anda juga disyorkan untuk memesan Lai Chi Kang kerana rasanya sangat berbeza dengan Lai Chi Kang yang terdapat di restoran-restoran lain. Waktu operasi Restoran Mee Ketam ini adalah bermula pada pukul 12.30 tengahari sehingga 10 malam pada setiap hari Selasa hingga Ahad. Manakala pada hari Jumaat,restoran ini akan mula beroperasi pada pukul 5 petang. Pada setiap hari Isnin,restoran ini akan ditutup.
5. Restoran Bisik-Bisik Seksyen 7 Shah Alam
Restoran Bisik-Bisik Seksyen 7 Shah Alam ini menawarkan pelbagai jenis sajian Johor dan juga pelbagai menu lain termasuk ‘western food’. Jadi, anda tak perlu pening-pening kepala nak pilih makanan apa yang anda suka.
Menu pertama yang wajib anda cuba ialah Kacang Pol.Dengar kata Kacang Pol ini dibawa khas dari Larkin, iaitu tempat Kacang Pol yang terkenal di Johor. Sekali cuba pastinya nak lagi! Manakala mee bandung udang galah sememangnya menjadi pilihan pengunjung di sini kerana udang galah yang disediakan memang besar dan betul-betul segar. Sememangnya rasa kemanisan udang galah tersebut sangat sesuai digabung dengan mee bandung udang galah ini.
Tidak lupa juga,anda perlulah mencuba mee rebus tulang. Pastinya anda akan menikmati setiap sedutan dari sum-sum tulang dalam mee rebus tulang ini. Harganya sangat berpatutan iaitu cuma RM9 semangkuk.Tarikan lain di Restoran Bisik-Bisik ini adalah ‘Asam Pedas Mak Kiah’. Anda boleh memilih samada mahukan ikan patin atau ikan jenahak untuk asam pedas Mak Kiah ini untuk dimakan bersama nasi putih. Restoran ini akan ditutup pada setiap hari Rabu,minggu kedua dan keempat setiap bulan dan beroperasi seperti biasa bermula pada pukul 12.30 tengahari sehingga 12.30 malam. Restoran Bisik-Bisik ini juga pernah mendapat liputan beberapa akhbar dan majalah utama.
Jalan-Jalan Cari Makan Shah Alam - women online magazine 2
6. Restoran Zam-Zam
Bagi anda yang inginkan makan nasi arab yang sedap di Shah ALam,anda bolehlah jalan-jalan cari makan Shah Alam di Restoran Zam-Zam yang terletak di Seksyen 9. Restoran Zam Zam ini mempunyai bangunan sendiri dan berdiri gah di belakang deretan kedai.
Mungkin kerana lokasi dan suasana restorannya yang ekslusif,maka harga yang dikenakan agak mahal berbanding restoran Arab yang lain,namun semua ini dikaburi dengan rasa nasi Arabnya yang sedap. Restoran Zam Zam ini menyediakan pakej mengikut berapa orang yang mahu makan. Hidangan nasinya sudah lengkap bersama nasi, lauk, pencuci mulut, kebab dan juga air. Sekali sekala apa kata anda cuba nasi Mandy Lamb yang sememangnya umpph! Harga bagi sepinggan Mandy Lamb ini ialah RM19 tetapi nasinya boleh dimakan untuk dua orang. Antara menu lain ialah Mixed Grill,Arabic Salad dan Muhalabia.
7. Restoran Big Brother
Jalan-jalan cari makan Shah Alam berpindah pula di Restoran Big Brother. Lokasinya sangat mudah untuk dicari kerana terletak di PKNS Bizpoint Seksyen 7, Shah Alam,baris belakang sekali yang berhadapan dengan Hospital Shah Alam yang baru.
Menariknya menu di sini adalah rasanya yang memang sedap di samping keunikan namanya. Malah portion yang disediakan memang ternyata berbaloi untuk anda nikmati. Antara menu wajib cuba di Restoran Big Brother ini ialah Seafood Aglio E’Olio Linguine (RM19.90),Seafood Marinara Spaghetti (RM19.90),Pan Seared Norwegian Salmon (RM25.90),Chicken Roulade (RM19.90),Creamy Pollo Tri-shroom Pasta(RM21.90) dan juga Sesame Chilli Dory(RM17.90).
8. Chemistry Cafe
Bagi anda jalan-jalan cari makan Shah Alam tetapi inginkan sebuah tempat yang boleh bersantai sambal berborak pada waktu petang ataupun malam,Chemistry Café+Lab merupakan tempat yang tepat untuk anda kunjungi. Kafe ini terletak sederet dengan Restoran Hakim Seksyen 7.
Kafe ini sememangnya menjadi pilihan para remaja dan sangat popular kerana dekorasi kafenya yang bertemakan makmal kimia. Pelbagai alatan yang selalu digunakan dalam makmal kimia digunakan untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada para pelanggan. Antaranya adalah tabung uji, picagari, kelalang berdasar rata, rak tabung uji, kaki retort,pengapit dan macam macam lagi!
9. Restoran Jemari
Mengidam tom yam yang sedap,pekat dan pedas? Pendek kata tomyam yang ‘kaw’? Jom jalan-jalan cari makan Shah Alam di Jemari yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Restorannya yang strategik bersebelahan dengan butik tudung Pearl Haya memudahkan pencarian anda untuk datang ke restoran ini. Menu special yang terdapat di restoran ini ialah Nasi Goreng Ala-Thai. Nasi ini dikelilingi oleh kerabu mangga, keropok, daging masak merah, timun, bawang dan cili padi. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu RM12.90.
Selain itu,apa kata anda cuba menu kerabu kangkung di Restoran Jemari ini. Menariknya kerabu kangkung ini tidak sama seperti kerabu kangkung lain yang selalunya berair. Di sini,anda boleh menikmati kerabu yang digoreng dengan tepung dan disiram dengan sos Thai. Apabila makan terasa seolah-olah anda sedang makan keropok! Memang sedap sangat. Harga sepinggan kerabu kangkung ini ialah RM8.90.
10. Restoran Laman Grill
Anda sukakan makanan western atau suka makan steak? Jom jalan-jalan cari makan Shah Alam ke Laman Grill yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam ini. Restoran ini terkenal kerana pengasasnya yang merupakan salah seorang dari juri dalam rancangan Masterchef iaitu,Chef Zubir Zain bersama rakan kongsinya Chef Kamal Baharain. Di restoran ini, pasukan masakan mereka menyajikan resipi yang dirumus dengan teliti dan pelbagai ciptaan lazat.
Antara menu yang terdapat di restoran ini ialah New Zealand Lamb Cutlet & Turkish Lamb Kebab (RM36.50), Australian Baby Lamb Foreshank(RM 34.50),Meat Lover’s Combo Platter (RM63.50) dan juga Caramelized Apple-Bread Butter Pudding(RM11.50). Walaupun harga di restoran ini memang mahal sikit tetapi dari segi rasanya memang berbaloi dengan bayaran yang dikenakan. Restoran Laman Grill ini beroperasi setiap hari bermula pada pukul 11 pagi sehingga 11 malam.
Sudah tahu restoran mana yang anda mahu pergi? Ajaklah rakan-rakan ataupun keluarga tercinta untuk sama-sama menikmatinya. - [sumber wom.my]

Suka dengan ini?
|

loading...